DISEMBER 2023

Kerajaan Lanjutkan Program Subsidi Tambang Bas Kadar Rata RM1 Untuk Jarak Kurang Dari 40KM


KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) akan melanjutkan Program Subsidi Tambang Bas Kadar Rata RM1 untuk jarak perjalanan kurang dari 40 kilometer sehingga tahun 2025. 

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh MOTS pada Selasa, kerajaan telah memutuskan untuk mengkaji semula pelaksanaan program subsidi ini di mana operasi bas hanya akan melibatkan laluan tidak melebihi 40km, berbeza dengan pelaksanaan sebelum ini. 

“Pada 26 Disember 2023, MOTS telah menjemput kesemua 11 syarikat bas henti-henti yang beroperasi di Kuching, Sibu, Sarikei, Miri dan Bintulu untuk memaklumkan model baharu bagi program subsidi yang telah diluluskan dan dipersetujui oleh Kerajaan.

“Butiran laluan dan jadual bas henti-henti telah dibentangkan kepada syarikat bas untuk pengesahan mereka dan program baharu ini akan bermula pada 1 Januari 2024,” katanya. 

Kenyataan sama memberitahu, program ini telah memberi manfaat kepada rakyat khususnya kumpulan B40 sejak pelaksanaannya pada Mei 2020 apabila bilangan penumpang meningkat sebanyak 75 peratus dari tahun 2021 sehingga 2023.

“Purata jumlah penumpang telah meningkat dengan mendadak, daripada 209,055 sebulan pada 2021 kepada 364,725 sebulan pada 2023.

“Kadar caj RM1 yang dikenakan kepada pengguna adalah amat berpatutan terutamanya mengambil kira keadaan ekonomi yang mencabar pada masa kini,” tambahnya.

Dalam pada itu jelasnya, kerajaan Sarawak melalui MOTS akan terus berusaha untuk menambah baik dan mengembangkan perkhidmatan bas henti-henti di Sarawak. -EDISI UKAS

Sumber dari : UKAS